TEKS UCAPAN PENGERUSI PERSATUAN PENDUDUK PLATINUM VILLA


Sempena Malam Ramah Mesra Penduduk 22 Disember 2007

Asalamualaikum w.b.t
Tuan-tuan & Puan-puan,


Pertamanya saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kesudian tuan-tuan & puan-puan, jiran yang dihormati sekalian ke majlis ramah-mesra kita ini.
Kami maklum, ramai di antara kita akan mengambil kesempatan dalam masa cuti perayaan yang panjang ini dari Raya Aidil Adha hingga ke Krismas pada Selasa ini, untuk pulang ke kampung atau bercuti ke lain-lain tempat. Walaupun begitu, setelah difikir dan dibincangkan bersama para ahli jawatankuasa persatuan penduduk, program ini kami teruskan juga kerana khuatir jika ditangguh lagi, terus tidak menjadi pulak nanti.
Adapun matlamat menganjurkan program ramah-mesra ini, tidak lagi tidak bukan adalah bagi kita sesama jiran tetangga di Fasa 3A, Jalan Platinum 7/44 hingga Platinum 7/47 untuk saling lebih mengenali antara satu sama lain. Ia sejajar dengan seruan agama dan kerajaan supaya jiran tetangga menjadi lebih rapat dalam usaha memupuk persaudaraan tetapi juga mengadakan kawalan keselamatan di peringkat awal.


LATAR BELAKANG

Secara ringkas, ingin saya ceritakan serba-sedikit sejarah penubuhan PPPV. Setelah projek ini siap sekitar Disember 2004, PKNS mula memberikan kunci rumah kepada kita bermula akhir bulan Februari 2005.
Pada Ogos 2005, setelah penduduk ramai sedikit iaitu dianggarkan lebih 70 rumah telah diduduki ketika itu, beberapa penduduk khususnya Sdr Hussain Mian, Sdr Ismail, Sdr Zulkifli, Sdr Yahya, Sdr Malibabu dan Sdr Saiful Yazan membuat inisiatif menghimpunkan penduduk yang ada.Pada 26 Ogos 2005, kira-kira 17 pemilik rumah berhimpun dan bersepakat untuk mewujudkan Jawatankuasa Penaja untuk penubuhan sebuah persatuan penduduk. Sasarannya ialah 6 bulan untuk ditubuhkan secara rasmi.
Alhamdulillah, sasaran itu berjaya dicapai dan permohonan penubuhan PPPV telah diluluskan oleh ROS bertarikh 26 Februari 2006. Satu majlis perasmian telah diadakan pada bulan Mac dan pemilihan AJK yang kebanyakannya terdiri daripada AJK Penaja memenuhi AJK PPPV.
Mengikut perlembagaan, AJK sekarang akan tamat tempohnya pada Mac 2008. Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan PPPV akan mengadakan mesyuarat agung tahunan pada Mac 2008. Jika pilihan raya umum diadakan ketika itu, kita tetapkan tarikh baru selepas itu.
PROGRAM-PROGRAM
Antara program-program yang telah PPPV jalankan dalam tempoh dua tahun ini ialah mengemukakan protes kepada PKNS mengenai masalah kebocoran pada bumbung sehingga mengakibatkan sebilangan penduduk di sini mengalami kerugian akibat kerosakan bilik tidur berikutan bumbung bocor.
Berdasarkan siasatan, kami mengesyaki PKNS telah melakukan kesilapan daripada segi struktur pembinaan. Berikutan itu, kira-kira 14 penduduk terlibat telah mengemukakan saman ganti rugi terhadap PKNS, dengan peguam dilantik menerusi PPPV.

Aktiviti lain ialah mengemukakan permintaan kepada MBSA bagi membina road-hump di sekitar Fasa 3A ini. Kami dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa MBSA tidak dapat membuatnya pada masa ini, atas alasan `kekurangan bajet'.
Kami juga ingin menasihatkan penduduk untuk sama-sama mengamalkan pemanduan berhemah apabila memasuki kawasan perumahan dan tidak memandu laju. Kami meminta ibu bapa supaya menasihatkan anak-anak yang menunggang motosikal supaya tidak memecut. Begitu juga para pelajar UiTM, Unisel dan sebagainya yang ramai menyewa di sekitar ini supaya memandu atau menunggang dengan cermat di kawasan perumahan ini. Kita khuatir akan berlaku perlanggaran, apatah lagi anak-anak kecil yang ramai bermain di sekitar perumahan.
Sejak 2005, beberapa kes pecah rumah, kecurian kasut dan pecah kereta telah dilaporkan di sekitar Fasa 3A Jalan Platinum ini.
* Dalam konteks ini, kami memikirkan asas kepada kawalan keselamatan ialah jiran-jiran mesti saling mengenali terutama yang duduk selang 5 rumah.
* Apabila ada orang asing didapati berkeliaran di sekitar jiran tetangga, anda mempunyai kewajipan untuk menghampiri mereka dan bertanya tujuan mereka.
* Jika mereka gagal memberi jawapan yang memuaskan, hubungi jiran tersebut.

Keprihatinan beberapa jiran kita dalam menjaga keselamatan sebenarnya telah terbukti. Sdr Rakesh dan Sdr Yahaya pernah menyelamatkan sebuah rumah di sini daripada kebakaran tatkala pemiliknya sendiri tidur tidak sedar dengan kejadian itu.

Dalam kejadian kedua, Sdr Syukor pernah dibaling buah mangga oleh dua lelaki yang mencuri besi sky-folding di rumah jirannya sebelum dua lelaki itu dirempuh oleh Sdr Khairuddin, juga jiran kepada Sdr Syukor.
Keprihatinan dan keberanian mereka ini adalah bukti dan contoh yang wajar kita teladani sebagai jiran yang boleh diharap dalam menjaga keselamatan jiran tetangga. Syabas kepada mereka!

PENGGABUNGAN DENGAN FASA 3
Kami juga telah menerima pertanyaan daripada penduduk Fasa 3 sama ada mereka boleh bergabung dengan kita. PPPV tidak merasa keberatan, walaupun kaedah urusan pentadbiran nanti perlu diperhalusi kerana hendak menguruskan jiran kita di Fasa 3A sebanyak 157 rumah pun sudah menjadi satu tanggungjawab besar dan berat. Kini terserah kepada AJK penduduk Fasa 3 untuk berunding sesama mereka sebelum kita boleh melangkah ke peringkat penggabungan.

E-MAIL DAN BLOG



Tuan-tuan & Puan-puan,

Seiring dengan perkembangan era ICT, kami juga telah mengadakan saluran komunikasi melalui e-mel iaitu

7platinum@gmail.com.
Manakala satu blog juga telah diwujudkan iaitu
http://7platinum.blogspot.com sebagai wadah untuk semua memperoleh maklumat terkini mengenai program-program yang hendak diadakan menerusi PPPV.
Diharap jiran semua, mengguna pakai kemudahan ICT yang kami sediakan ini untuk saling berkomunikasi.

Akhir sekali, saya mewakili AJK Persatuan Penduduk Platinum Villa menyeru jiran-jiran semua yang belum mendaftar sebagai ahli supaya berbuat demikian.Saya juga ingin sekali lagi mengucapkan terima kasih di atas kesudian tuan-tuan dan puan-puan hadir pada majlis ini. Sila jamu selera dan gunakan kesempatan ini untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Sekian. Wasalamualaikum w.b.t

En Tamyet Salamon
Pengerusi PPPV sesi 2006/2008

disediakan oleh Pasukan Petugas Komunikasi PPPV

No comments: