Lebih banyak Rukun Tetangga akan ditubuh

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Lebih banyak Rukun Tetangga (RT) akan diwujudkan di seluruh negara terutamanya di empat negeri yang dikesan mencatatkan kejadian jenayah tertinggi.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan berkata, empat negeri tersebut Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.
Katanya, pengarah JPNIN di semua negeri terutamanya empat negeri tersebut sudah diarahkan memantau dan mengumpulkan maklumat lengkap bagi menambah RT di kawasan yang memerlukan pengawasan.
“Tumpuan juga akan diberikan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Katanya, JPNIN juga sentiasa berhubungan dengan pihak polis bagi memperolehi maklumat mengenai kadar kejadian jenayah di sesuatu tempat dan meminta RT untuk mengambil langkah sewajarnya.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 360 RT telah ditubuhkan di seluruh negara dengan menggunakan peruntukan untuk penubuhan hanya 200 RT.
“Ini kerana permohonan penduduk setempat untuk menubuhkan RT semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana mereka sudah mulai sedar bahawa RT dapat membantu mengurangkan kejadian jenayah,” katanya.
Pada masa ini, terdapat sebanyak 3,570 RT di seluruh negara berbanding kira-kira 2,000 tiga tahun lalu.
Mengenai insentif keahlian RT pula, Azman Amin berkata, sejak tahun lalu, JPNIN memperkenalkan Skim Insurans Berkelompok bagi menarik lebih banyak penduduk menyertai RT.
Sehingga kini katanya, keahlian RT di seluruh negara mencecah sehingga 80,000 orang.
“Masyarakat kini semakin suka jika RT wujud bagi mengawal kawasan mereka kerana ahlinya terdiri daripada penduduk sendiri dan mereka kenal satu sama lain dan ini memudahkan operasi pengawasan,” katanya.
Katanya, peranan RT semakin penting memandangkan kejadian jenayah seperti penculikan kanak-kanak semakin menjadi-jadi kini.
Terbaru, Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang dipercayai diculik sejak enam hari lalu ketika dia sedang bermain berdekatan rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya dekat sini.


© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

No comments: