Kantin sekolah diarah tutup (Siar 21 April 2009)

SHAH ALAM 20 April - Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya mengarahkan supaya kantin Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 di sini ditutup berikutan tujuh muridnya mengalami keracunan makanan pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Pelajaran Selangor, Dr. Zahri Aziz berkata, penutupan itu bermula sehari selepas kejadian itu sehingga 1 Mei ini.

"Penutupan dilakukan bagi memantau kerja-kerja pembersihan kantin dengan kerjasama Pejabat Kesihatan sehingga mencapai tahap yang sepatutnya sebelum ia dibenarkan dibuka semula.

"Pegawai Jabatan Kesihatan juga telah mengambil sampel makanan di kantin sekolah itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahri menyarankan ibu bapa menyediakan bekalan makanan untuk anak-anak demi menjamin kesihatan mereka sepanjang berada di sekolah.

Dalam kejadian Khamis lalu, sekumpulan murid mengalami sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit setelah membeli burger pada waktu rehat di kantin sekolah berkenaan.

Ekoran itu, mereka terpaksa dikejarkan ke klinik berdekatan oleh guru sekolah terbabit.

© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

No comments: